Aku seorang ahli perniagaan yang punya empat isteri. Pada kesempatan ini aku ingin bercerita tentang isteri-isteriku. Berminat? Ayuh, mari ikuti kisahku.
Kumulakan dengan isteri yang paling kusayang. Siapa lagi, kalau bukan isteri yang keempat. Dia paling cantik,muda, paling bertenaga. Dialah isteri yang paling kucintai. Justeru dia sangat banyak membantuku. Kalau aku keletihan, dialah yang meyelesaikan segala kerja yang melibatkan tenaga. Dia macam tidak pernah keletihan. Oh, bertuah sungguh punya isetri muda yang kuat dan bertenaga. Dia adalah pujaanku yang sentiasa kujaga dan kudambakan kasihnya.Kepada isteri ke-empat juga dia selalu memberinya banyak harta dan kesenangan.
Isteriku yang ketiga tak kurang hebatnya.Cantik,pandai berhias dan bergaul dalam majlis. Dialah yang selalu menemaniku ke majlis-majlis penting. Oh, bangga dalam hati…apabila memperkenalkannya kepada teman-teman. Muka dan tuturnya sangat manis kelihatan.Namun aku juga bimbang jika isteri ku ini akan tertarik dengan lelaki lain.
Isteriku yang kedua apa kurangnya. Walaupun tidak secantik dan bertenaga seperti ketiga dan keempat, dia punya akal yang cerdas. Sangat pandai dan pintar dalam menyelesaikan masalah. Oh, sungguh bertuah…jika aku buntu, dialah yang menjadi tempat rujukku. Ada sahaja buah fikiran dan jalan penyelesaian yang dia ketengahkan.
Aduh, inilah isteri pertama. Rupa tidak ada. Fikiran di tahap biasa-biasa sahaja. Tenaganya pula sudah semakin diragut usia. Kehadirannya semacam tiada. Pergi tidak mengurang, datang tidak menambah. Hendak kucerai tidak sampai hati. Mujur, dia tidak kisah walaupun aku jarang-jarang datang menemuinya. Bukan tidak kasihan, tetapi apa boleh buat, hatiku tidak ada lagi padanya. Isteri tua….
Hidupku riang dan ceria sehingga satu hari, tiba-tiba kurasa badanku lemah. Pandanganku berpinar-pinar. Dan akhirnya aku jatuh terjelepuk sewaktu melangkah keluar daripada satu mesyuarat di pejabatku. Dengan segera aku dihantar ke hospital. Kaki tangan dan badanku tidak dapat bergerak-gerak lagi. Ya Allah…apa sakitku?
Doctor datang dan berkata perlahan, “Maaf tuan, saya terpaksa berterus-terang.” Aku mendengarnya dengan gentar.
“Tuan diserang barah di tahap terakhir. Mengikut pemeriksaan dan penyelidikan kami, umur tuan tidak panjang. Paling lama dua bulan. Tetapi ajal maut di tangan Allah. Banyakkanlah berdoa. Di sudut perubatan, tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat kecuali mengambil uabt penahan sakit!”
Aduh! Bagai disambar halilintar. Aku akan pergi buat selamanya. Mujur, mulut masih boleh berkata-kata. Lalu kupanggil keempat-empat isteriku. Ingin kutemui mereka seorang demi seorang. Merekalah tempat aku meluahkan resah dan takut di dada ini. Pertama kutemui tentulah isteriku yang tersayang – isteri keempat.
“Yang, kau tahu abang akan pergi tidak lama lagi. Jika ditakdirkan, sudikah kalau kau mati bersamaku? Untuk menemaniku di alam barzakh sana?” tanyaku perlahan sambil meramas-ramas tangannya penuh kasih sayang dan harapan.
“Bang, soal mati jangan buat bergurau. Abang pun tahu saya muda lagi…Abang mahu saya mati sama? Oh, tidak. Abang perlu faham situasi saya. Jika abang mati, relakanlah saya meneruskan kehidupan dengan lelaki lain. Takkah abang tega membiarkan saya yang masih muda ini hidup menjanda.”
Terlepas tangannya yang kupegang. Aku renung matanya untuk mendapat kepastian. Ya, dia pasti. Tidak ada ragu yang dapat “kubaca” daripada sinar matanya. Jika aku mati nanti, dialah isteri yang paling awal tidak bergelar janda. Janda muda, siapa yang tidak teringin!
Apabila isteri ketiga memasuki ruang kamar. Aku masih mampu melontar sisa-sisa senyuman yang masih tinggal. Wajahnya cantik, molek dan rupawan seprti biasa. Oh, alangkah sukar untuk berpisah dengannya nanti.
“Darling, abang akan pergi selamanya…”
“Ya bang, saya sangat sedih membayangkan hidup tanpa abang disisi,” balasnya bersama tangisan.
Ah, ada harapan, bisikku dalam hati.
“Darling, sudikah kalau kau menemani abang di Barzakh nanti, sebagai bukti cinta kita?” kataku menduga cintanya.
Dia tersentak. Matanya yang bak bintang timur seakan terbeliak. Dan lehernya yang jinjang menggeleng-geleng perlahan.
“Bang, kita perlu rasional. Kecantikan saya memang untuk abang, tetapi semasa abang hidup sahaja. Apabila abang mati, saya perlu teruskan kehidupan. Selain daripada harta yang abang wariskan, kecantikan inilah asset saya untuk meneruskan kehidupan.”
Oh, kau juga serupa. Alangkah seksanya apabila memikirkan kecantikanmu akan dinikmati oleh lelaki lain. Harapanku hancur.
Ya, isteri yang kedua adalah harapan terakhirku. Dialah yang sering menyelesaikan sebarang masalah. Tentu “masalah” ini juga mampu diselesaikannya.
“Abang perlu pandangan saya untuk menyelesaikan masalah abang?” Tanya isteri kedua sebaik bertentang mata.
“Ya, ya…kaulah satu-satunya harapan abang yang masih tinggal.”
“Saya akan membantu sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah abang dengan lancar…”
“Dengan lancar?”
“Ya, soal pembahagian harta pusaka akan saya uruskan dengan baik. Perniagaan abang pun telah saya semak semua hutang piutangnya. Insya-Allah, perniagaan dapat diteruskan. Abang usah risau. Batu nisan yang mahal tealah saya tempah. Begitu juga dengan tanah perkuburan. Imam, jemaah dan masjid untuk solat jenazah sudah pun saya tentukan. Abang jangan takut, semuanya sudah selesai saya uruskan.”
“Bukan itu masalah abang. Itu bukan masalahnya. Tapi masalah abang ialah abang takut hidup bersendirian dalam kubur. Sekian lama kau dapat menyelesaikan semua masalah abang…kini bantulah abang seperti biasa.”
“Apa masalahnya, bang?”
“Sudikah kau menemani abang di alam kubur?”
Isteri keduaku terkejut. Dia menutup muka dan berlalu segera sambil menangis. Harapanku hancur. Semua yang tersayang sudah tidak sudi lagi. Aku terkapa-kapa sendiri untuk menghadapi hidup selepas mati. Alangkah sepinya hati dan ngerinya nanti.
Tiba-tiba….”Assalamualaikum, bang.”
Ah, terlupa…aku masih lagi punya satu isteri lagi – isteri pertama.
“Waalaikumussalam,” jawabku hambar. Aku tidak mengharap apa-apa daripadanya. Aku tidak akan mengemukakan apa-apa permintaan, justeru aku dapat meneka apakah jawapannya nanti. Mustahil dia yang sering aku tinggalkan sudi menemaniku.
“Terima kasih kerana abang masih sudi menemui saya,” katanya sebaik bersalaman.
Isteri pertamaku merenung mataku. Matanya bersinar jernih dan ketenangan tidak tercabut daripada cahaya pandangannya walaupun usianya sudah lanjut.
“Abang, saya sanggup menemani abang. Ke mana sahaja abang pergi. Di mana jua. Saya tak akan pernah sanggup meninggalkan abang kerana saya sangat sayangkan abang,”.
Ah, alangkah gembiranya hatiku. Rupa-rupanya dia yang sering aku pinggirkan itulah yang paling setia dan berguna. Aku terharu dengan keikhlasannya. Dialah hakikatnya isteri sejati dan hakiki walaupun tidak ada tenaga, rupa dan idea.
Dia menyesali dirinya dan berkata dalam hatinya, “Seandainya aku selalu menghargai kehadiranmu dan menemanimu di saat masih ada waktuku dahulu, takkan kubiarkan engkau menemaniku dalam keadaan seperti ini. Aku menyesal dan baru menyedari bahawa engkaulah yang benar-benar menyayangiku dan tak pernah meninggalkanku.”
Saudara-saudari, siapa ‘aku’ dalam cerita di atas? Siapa lagi kalau bukan diri kita. Kitalah yang punya empat ‘isteri’.
Isteri keempat ialah jasad dan tubuh kita. Daripadanya kita mendapat kekuatan dan tenaga. Justeru, “dia” kita jaga sepenuhnya. Diberi makan dan minum dan dilindungi daripada penyakit. Kita sangat sayang kepadanya. Masa, harta dan perhatian kita kekadang dihabiskan sepenuhnya dan seluruhnya untuk membelai anggota badan kita. Jangan sakit, cacat dan lemah. Pelbagai makanan tambahan, ubat-ubatan serta rawatan kita usahakan untuk mendapat tenaga daripada tubuh badan.
Isteri ketiga kita ialah status sosial dan kekayaan kita.. Siang malam kita memikirkan bagaimana menambahnya. Bagaimana meningkatkan kewangan keluarga. Tidak cukup dengan kerja yang ada, kita usahakan kerja tambahan. Apabila wang bertambah, simpanan meningkat, kita belikan asset. Kita bangga “memperagakan” rumah, kereta dan segala asset pencarian kita. Ironis sekali, seolah-olah “nilai” kita terletak pada barang-barang bernilai yang kita miliki itu. Walau kita begitu bangga dan sayang kepadanya, segera setelah kita meninggalkannya, semuanya akan berpindah dari diri kita ke orang lain.
Isteri kedua kita ialah keluarga, kerabat dan teman kita. Pada merekalah kita meluahkan masalah. Pada merekalah kita harapkan pandangan, nasihat, teguran dan jalan penyelesaian. Merekalah yang selalu kita temui, jemput dan raikan dalam hidup. Hidup akan sepi tanpa mereka di sisi. Walau kita selalu dekat kepada mereka, mereka takkan bisa bersama kita tuk selamanya. Hanya sampai liang lahat mereka dapat mengantar kita.
Isteri pertama kita ialah jiwa dan amal ibadah kita. Itulah yang sering kita lupakan. Yang kadang terlupakan oleh kita, jarang kita jaga. Padahal inilah yang akan selalu menemani kita baik dalam hidup maupun setelah kita meninggalkan dunia yang fana ini. Hanya jiwa yang kaya iman, islam dan ihsan serta amal ibadah yang akan selalu menolong kita baik didunia maupun di akhirat kelak.
Namun,kita pinggirkan. Bila hendak menambah amal? Nanti, esok masih ada. Bila hendak taubat? Tunggu, usia masih muda. Segala kebaikan sama ada yang berbentuk hablumminannas (hubungan sesama manusia) sering tidak mendaoat keutamaan. Segala-galanya hanya seperti “isteri tua” yang tidak mengghairahkan dan menggiurkan lagi.
Namun, akan tiba masanya nanti (dan itu pasti), akan terserlah jua mana “isteri” yang benar-benar jujur dan setia. Ketika saat berangkat yang didahului oleh sakarat itu, apakah ada debu amal kita yang akan bertukar menjadi permata? Aduh, alangkah sepi dan malangnya kita pada malam pertama di alam kubur sana…tanpa “isteri” yang sudi mendakap kita?
Semoga kita mengambil pengajaran daripada simbolik,cerita di atas.
~fiction~
wallahualam
0 Comments