Dia Nie Lelaki Atau Perempuan

Kami adalah kakitangan dari Unit Pencegahan Maksiat, Jabatan Agama Islam Negeri. Dia ni adalah suspek wanita yang dikenali sebagai Katty, yang kami tangkap bersama pasangannya di Pangsapuri Melor pada awal pagi tadi. Namun apabila kad pengenalannya disemak, nama yang tertulis ialah Khairul Nizam (bukan nama sebenar) dan jantinanya adalah seorang lelaki. Bolehkah Doktor buat pemeriksa kesihatan dan sahkan jantina sebenar dia?
Katty mengaku bahawa dia telah dilahirkan sebagai seorang lelaki dan kemudiannya membesar sebagai seorang lelaki lembut sehingga ke sekolah menengah. Entah macam mana dia boleh terjerumus ke lembah maksiat setelah seorang teman ‘lelaki’ yang lebih dewasa meminatinya dan terus menjadikan beliau sebagai pasangan hidupnya. Katty terus bertekad untuk memenuhi kehendak jiwanya yang membuak-buak walaupun hasratnya ditentang keras oleh ibu dan ayahnya.
Dia merasakan bahawa dirinya hanya sempurna apabila dia menjadi seorang wanita yang sejati dengan menjalani pembedahan pengubahan jantina di Holland yang ditaja oleh teman lelakinya yang merupakan seorang VIP di Tanah Air. Namun saat-saat indah itu tidak berpanjangan apabila dia ditinggalkan oleh ‘suami’nya. Katty merasa semakin terpinggir apabila merasakan hidupnya kosong dan menjadi sampah masyarakat. Bagi menyara hidupnya dia terpaksa memberikan ‘khidmat’ kepada lelaki yang memerlukan perkhidmatan daripadanya termasuklah di kalangan ‘orang-orang penting’.”Saya tahu bahawa hidup saya penuh dengan dosa tapi saya nak nak hidup macam mana lagi? Siapa yang sanggup membawa saya kembali ke pangkal jalan…?” ujarnya tersedu-sedu sambil mengesat air-mata yang lebat berjujuran.
Ini adalah satu daripada beberapa kes penukaran jantina lelaki yang menjadi perempuan yang pernah saya tangani kerana mereka didakwa terlibat dengan kegiatan maksiat dan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.
Ketidak-tentuan jantina atau kecelaruan identiti?
Saban hari semakin kerap kita mendengar kes penukaran jantina yang berlaku di negara kita sendiri. Lebih menyedihkan apabila mendapati bahawa majoriti di kalangan mereka adalah anak Melayu yang beragama Islam. Perkembangan fenomena pelik ini semakin menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai yang masih mengambil berat mengenai perkembangan semasa masyarakat di negara ini. Adakah boleh seseorang itu membuat pembedahan menukar jantina sesuka hati dan apakah syarat-syarat yang dibenarkan dalam Islam sebelum seseorang boleh membuat pembedahan begini?
Saya sendiri tidak mempunyai fakta sebenar tentang bilangan golongan mak nyah di Malaysia walaupun ada beberapa sumber yang menganggarkan bahawa jumlah mereka di sekitar Lembah Klang sahaja mungkin mencecah 50 ribu orang. Kalau dahulu cuma segelintir kecil di kalangan mereka yang mampu membelanjakan wang yang banyak bagi menjalani pembedahan penukaran jantina di Eropah, terutamanya Holland. Namun kini semakin ramai di kalangan mereka yang telah berbuat demikian dengan menjalani pembedahan penukaran jantina di Thailand.
Kita juga mengetahui bahawa Thailand adalah salah sebuah daripada negara yang mempunyai populasi tertinggi di dunia dalam kes transgender. Banyak pusat pembedahan penukaran jantina Thailand yang mempunyai kemahiran teknik pantas yang boleh mengubah jantina seseorang dengan kos serendah AS $ 2,000 atau kira-kira RM6,400.00 sahaja. Dr. Thep Vedusit, salah seorang doktor pakar bedah transeksual mengakui bahawa beliau telah melakukan lebih daripada 500 pembedahan transeksual yang melibat rakyat Thailand dan juga dari negara jiran terutamanya Malaysia.
Bolehkah seseorang menukar jantinanya?
Persoalan menukar jantina bukanlah satu perkara yang kecil dan boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya. Islam menegah perbuatan ini di atas alasan menukar ciptaan Allah swt, yang telah menjadikan manusia mengikut kehendak-Nya. Menjadikan manusia dengan rupa paras dan bentuk serta jantina tertentu adalah hak mutlak Allah swt.
Daripada Ibnu Abbas r.a. yang bermaksud, “Rasulullah s.a.w. melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau berlagak seperti wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau berlagak seperti lelaki” (Hadith riwayat al-Bukhari)
Sepotong lagi hadith daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata (maksudnya),”Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad shahih)
Jelaslah daripada hadith-hadith di atas tentang larangan dan pengharaman bagi lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya. Jika perbuatan ‘menyerupai’ atau ‘ berlagak’ sahaja pun telah dikira berdosa dan dilaknat oleh Nabi s.a.w, maka apatah lagi bagi perbuatan seseorang yang mengubah sesuatu anggota lelaki menjadi anggota wanita, maka sudah tentulah lebih besar lagi dosa dan kesalahannya.
Dalam agama Islam, syarak memberikan pengecualian hanya kepada kes ketidaktentuan jantina yang dipanggil sebagai khunsa musykil untuk menentukan jantina mereka melalui pembedahan setelah memenuhi syarat-syarat tertentu yang disokong oleh keterangan pakar-pakar di bidang tersebut.
Kelonggaran ini adalah khusus sebagai ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu dapat menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan lebih sempurna kerana penentuan ini ada kaitannya dengan melaksanakan perintah-perintah Allah swt.
Perbincangan para ulama dalam mengharuskan seseorang itu menukar jantina adalah selepas dikenalpasti bahawa dia memang layak kerana ada dua jantina dan dikekalkan jantina yang aktif setelah disahkan oleh pakar-pakar perubatan.
Mak Nyah bukan khunsa
Namun apa yang berlaku di Malaysia pada ketika ini dalam isu menukar jantina bukanlah kerana mereka menghadapi khunsa musykil tetapi jiwa mereka yang terserong sehingga berkeinginan menjadi wanita. Jantinanya dan genetiknya adalah lelaki tetapi keinginannya untuk menjadi wanita mungkin mengatasi keinginan kelelakiannya. Keadaan ini tidak boleh menjadi sebab untuk mereka menjalani pembedahan menukar jantina. Ini adalah sebenarnya ujian untuk individu tersebut dan juga ahli keluarganya dan mesti diatasi dengan mendekatkan diri kepada Allah swt dan bersabar ketika mendepaninya.
Mereka yang menukar jantina ini akhirnya pasti akan menyesal yang tidak berkesudahan kerana :
  1. Masyarakat secara umumnya amat sukar menerima kehadiran insan ini
  2. Mereka telah mendurhakai kedua ibu bapa mereka sendiri
  3. Allah swt telah mencipta mereka sebagai lelaki tetapi pulang semula kepadaNya (meninggal dunia) sebagai seorang perempuan.
Apakah langkah-langkah praktikal bagi menangani permasalahan ini?
1-Peranan ibu-bapa dan pendidik
Mendidik anak-anak dengan didikan Islam yang betul dan memperhatikan perkembangannya dengan teliti. Anak-anak lelaki mesti dididik agar menjadi lelaki dan begitu juga sebaliknya dengan anak perempuan. Bahkan persahabatan anak-anak dengan rakan yang sejenisnya juga harus diikuti perkembangannya tanpa memberikan kebebasan secara total. Sebarang perkembangan yang tidak normal harus diperbetulkan sejak daripada kecil lagi.
2-Peranan masyarakat, NGO dan badan-badan Islam
Jangan mencemuh golongan mak nyah kerana mereka adalah manusia yang menghadapi kecelaruan identiti yang memerlukan bantuan daripada kita semua. Mereka perlu dibawa ke pangkal jalan dengan menawarkan aktiviti-aktiviti dan program-program pemulihan.
Pusat-pusat zakat serta NGO boleh membantu mereka mencari pendapatan dengan menyediakan ruang-ruang pekerjaan yang sesuai agar mereka tidak melibatkan diri dengan industri seks.
Mendidik masyarakat termasuk golongan yang berkepentingan agar tidak mengambil kesempatan daripada golongan mak nyah ini. Pelanggan-pelangan mereka adalah di antara punca yang paling penting akan kenapa komuniti ini semakin barcambah di Tanah Air.
3-Media
Filem dan bahan media yang bertentangan dengan Islam dan budaya timur hendaklah ditapis dan tidak ditayangkan kepada umum. Pengamal media juga berperanan membantu agar permasalahan ini ditangani dengan baik dengan mendidik masyarakat supaya peka mengenainya dan semua pihak bertanggung-jawab untuk menyelesaikannya.
4-Badan Penguat-Kuasaan
Badan Pengaut-Kuasa harus bertindak dengan lebih tegas terhadap akta-akta yang telah diluluskan sebelum ini terhadap golongan mak nyah dan mereka yang melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Pasangan dan pelanggan golongan mak nyah mesti ditangkap dan dikenakan tindakan yang tegas tanpa sebarang pengecualian. Merekalah di antara punca utama yang menyebabkan aktiviti tidak bermoral di kalangan komuniti golongan ini semakin membesar di Malaysia.
5-Kerajaan
Kerajaan mesti memainkan peranan yang lebih serius terhadap isu nasional yang semakin membiak ini. Kerajaan mesti memberikan sokongan penuh kepada NGO, badan-badan Islam serta Badan Penguat-kuasaan undang-undang agar isu ini dapat ditangani secara berkesan. Kerajaan Malaysia bertanggung-jawab bagi menentukan hala-tuju kehidupan rakyat yang dipimpinnya dan akan dipersoalkan oleh Allah swt di Akhirat kelak. Pendidikan Islam adalah penyelesaian jangka-masa panjang yang mesti direalisasikan dan perlaksanaan undang-undang Islam yang lebih menyeluruh adalah satu tuntutan yang mesti dilaksanakan di seluruh negara.
Ya Allah ! Bantulah kami hamba-hambaMu yang amat dahagakan kasih-sayangMu….