Kadang-kadang kita hairan, ada orang yang bercita-cita hendak menjadi kaya, tetapi   setelah menjadi jutawan tak rasa bahagia. Sesetengah itu inginkan isteri yang cantik, apabila dah dapat, tak rasa keindahan hidup atau tak rasa bahagia. Ada yang bercita-cita hendak menjadi artis glamour, apabila dah tercapai, hati diserang resah gelisah, maknanya tidak bahagia juga.

Rasa gelisah, tidak tenteram, tidak rasa indah apabila datang menyerang jiwa, hidup akan rasa sempit dan tidak bermaya. Kenapakah ini boleh berlaku?

Sebenarnya di sini Allah Subhanahu wa Ta’ala ingin mengetuk hati kita, seolah-olah Allah hendak beritahu kita begini:

Aku telah kurniakan kamu nikmat yang banyak, tetapi kenapa kamu tidak bersyukur dengan nikmat itu? Kenapa setelah dapat nikmat, tidak ingat pada-Ku?

Sebab itu kita tidak tenteram. Kita telah terlupa pada peringatan Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti di dalam firman-Nya:

“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku, maka Aku akan untukan baginya kehidupan yang sempit.” [Thoha: 124]

Maksud sempit di sini ialah hati senantiasa kusut, tersendat walaupun pada zahirnya hidupnya lapang. Oleh itu kalau hati kita rasa begitu, nilai semula hubungan kita dengan Allah, adakah kita ingatkan-Nya hanya di waktu susah saja? Kalau begitu, sungguh tidak beradablah kita. Bukankah lebih bagus mengingati-Nya ketika senang kerana di waktu susah memang kita ingat Allah?

Katakanlah kita sakit. Kalau kita faham, “Begini Allah taqdirkan aku supaya aku kembali ingat pada-Nya. Lagipun siapa lagi hendak mengingatkan aku, kalau tidak dengan taqdir Allah. Dengan sakit ini Allah ingin hapuskan dosa-dosaku. Inilah kasih sayang Allah.”

Kalaulah begini hati kita, tidak ingin kita membesar-besarkan kesusahan yang Allah taqdirkan kepada kita. Tidak kita canangkan pada orang lain dengan membesarkan rasa sakit itu, sakit ini. Kita bersyukur malah terhibur senantiasa kerana di samping Allah beri peringatan, Allah beri pahala pula jika kita bersabar.

Sebenarnya andai kita canang dan membesar-besarkan sakit itu, kita telah dua kali sakit; sakit badan dan sakit hati. Sakit hati ini lebih teruk dari sakit badan. Hubungan dengan Allah tidak selesai. Begitu juga dengan manusia.

Katakanlah kita menjadi pegawai tadbir. Tetapi hati kita masih tidak bahagia kerana kerenah anak-anak buah yang tidak ikut cakap. Seandainya dia bersangka baik dengan Allah, kita akan berkata begini:

“Kerja mentadbir orang ini susah, apalagi kalau ramai. Tetapi hati mereka Allah yang pegang. Kalau diriku sendiri tidak dapat ditadbir, bagaimana ingin mentadbir orang lain. Sedangkan hati mereka Allah yang pegang dan Allah sahaja yang boleh mencantumkan hati-hati semua. Mungkin aku tidak menjaga hati mereka, kebajikan mereka dan maruah mereka sebagai anak-anak buah.”

Apabila datang rasa begini, bebaslah kita dari bersangka buruk dan risau, sebaliknya kita rasa cemas kalau kalau kita telah berlaku cuai terhadap tanggungjawab kita pada anak buah. Hakikatnya Allah yang beri kita kerja, cuma adakah kita telah menjalankan tanggungjawab mengikut kehendak Allah sebenar-benarnya?

Katakanlah setelah menjalankan tugas itu, kita dibuang kerja kerana dianggap kurang cekap, pandangilah ujian kesusahan itu ada hikmah di sisi Allah.

“Oh, rupa-rupanya Allah hendak hukum cara ini atas kesalahan aku. Kalau dihukum di sini, tidaklah berat sangat kalau dibandingkan dengan hukuman di Akhirat (Neraka).”

Jika begini nilaian kita, terhiburlah hati. Bahagialah untuk kita (bukannya terlalu bersedih) kerana ujian sakit, dibuang kerja adalah termasuk hukuman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tidak akan dihukum lagi di Akhirat kelak. Begitulah kita kiaskan pada perkara-perkara musibah yang lainnya.

Satu pengorbanan yang susah orang hendak buat ialah korban perasaan. Tetapi sekiranya dapat bersabar dalam menanggung perasaan ini ketika ditimpa ujian, akan dijamin pahala tanpa dihisab. Firman Allah:

“Sesungguhnya ganjaran untuk orang yang sabar ialah tanpa hisab.” (Az Zumair: 10)

Kalau kita faham tentang ini tidak menjadi masalah kalau ditimpa ujian. Hati kita terus terhibur dan bersyukur bahkan masih boleh senyum dalam ujian.