Soalan :
assalamualaikum ust, adakah perlu kita jawab azan yg di radio atau televisyen semasa masuk waktu?
Jawapan :
Wa'alaikumussalam.
1. Hukum asal menjawab azan adalah sunat. Disunatkan bagi orang yang mendengar azan agar diam dan menjawab (mengikuti) kalimah-kalimah azan yang dilaungkan sama ada seseorang itu dalam keadaan suci atau berhadas, junub atau haid.
2. Berkenaan hukum menjawab azan di radio, televisyen atau media elektronik yang lain, jawapannya adalah seperti berikut:
• Pertama.
Jika azan tersebut dilaungkan secara langsung atau 'live' dan disiarkan secara langsung melalui radio, televisyen atau media elektronik. Contohnya, azan waktu solat Isyak di Masjidil Haram yang disiarkan secara langsung pada bulan Ramadhan, atau azan waktu solat Jumaat yang disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen dari Masjid Negara, maka sunat hukumnya menjawab seruan azan tersebut.
• Kedua.
Jika suara azan yang didengar itu merupakan rakaman suara azan yang dipasang melalui cd, mp3, software, aplikasi dan lain-lain kemudian dimainkan di radio, televisyen, telefon bimbit, komputer dan sebagainya, maka tidak sunat menjawab seruan azan tersebut. Contoh rakaman suara azan selalu diputarkan di televisyen dan disiarkan berulang-ulang kali setiap waktu solat.
3. Kesimpulannya, sunat menjawab azan yang didengari melalui media elektronik jika azan itu disiarkan secara langsung. Tetapi jika ianya hanya suara rakaman, maka tidak sunat menjawab azan tersebut.
Wallahu a'lam.
Rujukan.
1. Al-Mu'tamad, 1/190
2. Qurrah Al-'Ain, 52
Disediakan oleh,
Ustaz PU Zaid
Pencetus Ummah Musim Ke-3
2 Comments