Awas Tabiat Kunyah Ais - Bahaya Pada Kesihatan




Dalam dunia yang bergerak pantas ini, kita sering berasa letih kerana sibuk memenuhi tuntutan kehidupan bandar yang semakin mencabar.

Justeru, kita sentiasa lesu atau mudah letih kerana berdepan tekanan fizikal dan mental, terutamanya selepas bekerja sehari suntuk atau senaman berat di gim.

Namun bagi sesetengah orang, keletihan mungkin menandakan ada masalah lebih membimbangkan iaitu anemia. Anemia adalah gangguan kesihatan iaitu bilangan sel merah yang kurang daripada paras normal.

Darah mengangkut oksigen, nutrien, hormon serta bahan lain ke organ dan tisu. Apabila jantung berdenyut, darah akan dipam menerusi pembuluh darah ke semua bahagian badan.

Sebagai komponen yang paling banyak dalam darah, sel-sel darah merah memberi warna merah kepada darah serta mengangkut oksigen daripada paru-paru ke badan menerusi sejenis protein khas dinamakan hemoglobin .

Anemia bermaksud paras sel darah merah atau hemoglobin rendah daripada paras normal. Kesannya, kandungan oksigen yang diangkut dalam darah berkurangan.

Oksigen adalah bahan api yang membolehkan sel-sel hidup dan berfungsi. Fungsi sel, tisu dan organ terjejas jika oksigen yang dibekalkan berkurangan. Sebab itulah kita mudah letih apabila melakukan aktiviti seharian.

Anemia selalunya dihadapi kaum wanita akibat kehilangan darah ketika haid atau kehamilan. Selain itu, masalah kesihatan ini turut disebabkan pendarahan dalam perut, kekurangan nutrisi atau penyakit kronik lain. Namun, faktor utama anemia ialah kekurangan zat besi. Anemia boleh diwarisi daripada ibu bapa.

Punca dan simptom anemia

Punca anemia termasuk kehilangan darah akibat trauma, luka pada saluran gastrousus atau pendarahan haid yang tidak normal, kekurangan vitamin dan mineral yang penting untuk penghasilan sel darah merah, penyakit kronik seperti radang gastrousus, kegagalan buah pinggang, jangkitan akut dan kronik serta penguraian sel darah merah akibat latihan fizikal yang berat. Bagaimanapun, punca anemia yang paling biasa ialah kekurangan zat besi.

Selain keletihan, simptom lain yang biasa termasuk sakit kepala, pening, denyutan jantung tidak teratur, kulit pucat, bunyi berdengung dalam telinga dan sesak nafas.

Cara lain untuk mengenal pasti simptom anemia termasuk memeriksa warna dalam kelopak mata bawah anda (konjunktiva), kuku dan tapak tangan. Konjunktiva, kuku dan tapak tangan yang pucat ialah tanda anemia.

Jika anemia yang teruk tidak dirawat, jantung mesti bekerja lebih kuat dan beban ini boleh menyebab­kan masalah jantung yang dikenali sebagai hipertrofi ventrikel kiri (LVH), aritmia (denyutan jantung tidak teratur) serta menjejaskan imuniti.

Tambahan pula, anemia dalam kalangan ibu yang mengandung mungkin menyebabkan kelahiran pramatang.

Kekurangan zat besi (IDA)

Anemia kekurangan zat besi ialah sejenis amenia yang disebabkan kekurangan zat besi dalam badan untuk menghasilkan sel darah merah.

Ia adalah jenis anemia paling biasa. Faktor kekurangan zat besi termasuk peningkatan keperluan badan terhadap zat besi dalam peringkat kehidupan tertentu (misalnya kehamilan dan tumbesaran), kehilangan zat besi menerusi kehilangan darah serta kekurangan pengambilan atau penyerapan zat besi.

Mengatasi kekurangan zat besi

Perubahan diet langkah pertama untuk mengatasi kekurangan zat besi dalam darah. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), warga dewasa perlu mengambil 18 miligram zat besi setiap hari untuk mengekalkan kesihatan.

Pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti sayur-sayuran berdaun hijau, kacang lentil, tiram dan daging merah kurang berlemak serta ikan dapat membantu meningkatkan kuantiti zat besi.

Namun, kita perlu mengambil makanan ini beberapa kali dalam kuantiti yang tetap kerana badan hanya mampu menyerap kira-kira 10 peratus zat besi daripada diet.

Anda patut kurangkan merokok untuk membantu badan pulih dengan lebih cepat. Selain itu, anda patut menjalani gaya hidup aktif.

Amalkan gaya hidup sihat

Tidak dapat dipertikaikan bahawa zat besi diperlukan untuk kesihatan optimum. Walaupun demikian, kebanyakan penghidap anemia tidak sedar mereka menghidap anemia. Oleh itu, pemeriksaan badan adalah penting. Terdapat beberapa tabiat anemia. Anda patut berjumpa doktor jika teringin mengunyah ais atau tanah liat.
Sumber : Metro Ahad - 25 Oktober 2015